WAKTU SOLAT BAGI NEGERI KEDAH

Saturday, March 19, 2011

Atasi kepenatan cara Islam



Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah sallahu alaihi wassalam kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Saidina Ali berkata :
“Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah sallahu alaihi wassalam tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda sallahu alaihi wassalam pergi menemui puterinya serta menantu itu.

Baginda sallahu alaihi wassalam berkata:
“Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur:
bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."


Inilah penawar ringkas yang Nabi sallahu alaihi wassalam ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah sallahu alaihi wassalam ini.
Katanya “Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Tips ini dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca ‘Subhanallah’ (33 kali), ‘Alhamdulillah’ (33 kali) dan ‘Allahuakbar’ (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , InsyaAllah ia mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

“Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun” (Sabda Rasulullah sallahu alaihi wassalam)

“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasuNYA, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” 

Friday, March 18, 2011

Lima perkara semua kita mahukannya dan kita usaha utk mendapatkannya:-





1: Wajah yang cantik – solat subuh


2: Duit yang banyak – solat zohor

3: Kesihatan yang baik – solat asar

4: Anak2 yg cerdik dan berjaya macam kita – solat maghrib

5: Tidur yang nyenyak tanpa ganguan – solat isyak


Senang jer untuk mendapatkannya hanya 15 minit setiap hari .


Kata Nabi Muhammad S.A.W; siapa yang tinggalkan solat subuh tiadalah padanya nur di wajahnya dan siapa yang tinggalkan solat zohor tiadalah padanya rezki yang berkat dan barang siapa yang tinggalkan solat asar tiadalah padanya kekuatan badan dan siapa yang tinggalkan solat maghrib tiadalah padanya anak2 yg bermanfaat dan barangsiapa yang tinggalkan solat isyak tiadalah padanya tidur yang nyenyak . ( Sampaikanlah daripada nabi saw itu walaupun satu ayat )

' Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ' Surah Al-Baqarah ayat 286

Sunday, March 6, 2011

Akibat Melengah-lengahkan Solat


Suatu cerita yang telah berlaku beberapa tahun lalu di Makkah …Kisah Benar … kisah yang boleh kita renungkan bersama serta jadikan panduan dalam diri kita ini. Kisah yang anda baca ini bukannya datang dari majalah Mastika atau majalah2 tabloid tetapi kisah dari tanah perkuburan Sa’raya, Makkah.

Pada beberapa tahun dahulu ada seorang perempuan yang berumur 40an telah meninggal dunia. Mereka telah mengusung jenazah beliau untuk dikebumikan di tanah perkuburan Al Ma’ala yakni lebih kurang 2 kilometer dari Masjidil Haram selepas solat zuhur. Apabila sampai sahaja di tanah perkuburan tersebut, alangkah terperanjatnya mereka bila mendapati seekor ular yang berwarna Hitam sebesar peha bersisik tebal telah berada di dalam liang lahat (dalam kubur tersebut). Subahanallah … keadaan ular tersebut amat menggerukan. Mereka pun terus berlalu dari situ dan membawa jenazah wanita tersebut ke tanah perkuburan yang lain yakni di tanah perkuburan Sa’raya lebih kurang setengah jam memandu dari situ (8 km Jauhnya) . Apabila mereka sampai di tanah perkuburan tersebut, rupa-rupanya Ular Hitam yang sama juga telah menunggu jenazah wanita yang ingin dikebumikan di situ. Allahuakbar … mereka mengambil keputusan untuk memindahkan serta mengangkat ular tersebut dan letakkan di luar yakni berjauhan sedikit dari kawasan tersebut dan mengkebumikan jenazah wanita itu (yang peliknya Ular Hitam itu tidak melakukan apa-apa bila disentuh oleh mereka).

Selepas sahaja mereka mengkebumikan mayat wanita itu, tiba-tiba Ular Hitam yang diletakkan berjauhan dari situ terus datang menjalar dengan pantas dan masuk meluru ke dalam kubur wanita itu. MasyaAllah (seperti menjunam kedalam swimming pool dari atas – keadaan sewaktu ular itu masuk ke dalam kubur). Dengan beberapa seketika mereka mendengar bunyi seperti dahan-dahan pokok yang dipatah patahkan dan apabila mereka melihat ke dalam kubur wanita tersebut, alangkah terperanjatnya kerana Ular Hitam sedang membelit jenazah wanita itu serta mematah matahkan tulang jenazah itu … Subhanallah.Ada beberapa orang yang berada di persekitaran kubur itu turut pengsan melihat kejadian itu. Selepas diselidiki kenapa perkara tersebut boleh terjadi, rupa-rupanya sewaktu hayatnya, wanita tersebut suka melewat lewatkan Solatnya.

Marilah kita ambil iktibar dan pedoman dari kejadian ini. Semoga Allah swt kuatkan iman kita dalam mendirikan solat 5 waktu daripada gangguan syaitan dan iblis insyaAllah. Ini baru seksaan di dunia akibat melewatkan solat….Bagaimana kalau tak solat…..
Wallahua'lam...

Saturday, March 5, 2011

Kehebatan Solat di Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.
Waktu Subuh
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.
Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.
Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.
Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Waktu Zohor
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.
Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.
Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.
Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?
Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.
Rahsia warna oren ialah kreativiti.
Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).
Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
Waktu Magrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.
Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.
Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.
Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.
Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.
Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
Qiamullail
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.
Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.
Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.
Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.
Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.
Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.
Wallahualam.